Wednesday, May 2, 2007

Gara-gara tak reti jaga mulut

Gara-gara idea spontan, Aznil tiba-tiba dicerca. Masakan tidak timbul cercaan, ramai pihak telah dikenakannya pada malam konsert ke-7. Pelajar AF sendiri seperti Ebi, Aswad, Candy, Dafi habis dipermalukannya dengan perkataan-perkataan berunsur 18SX yang tidak sepatutnya terkeluar daripada mulut seorang pengacara pro yang berpengalaman. Yang paling memalukan mungkin lawak 'tiada dara' yang ditujukan khas kepada Erra Fazira. Kesian Erra Fazira!. Namun, apa penjelasan Aznil. Sumber : Berita Harian.

TANPA disedari, niatnya untuk bergurau ketika segmen berbalas pantun bersama pelajar Akademi Fantasia 5 (AF5), Shawal mengundang kontroversi apabila Aznil dikatakan mengaibkan pelakon dan penyanyi terkenal Erra Fazira sewaktu membalas pantun yang dijual pelajar dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu.

Ungkapan nak tahu nak bezakan yang mana dara dan tiada dara? yang diuar-uarkan Aznil pada malam konsert ketujuh AF5, malam Sabtu mengundang ketidakpuasan hati serta tidak peka pada sensitiviti penonton.

Malah, menerusi ruangan Surat & E-mel pembaca dalam akhbar ini, kelmarin seorang pembaca yang menggelarkan dirinya Budak Kampung dari Temerloh, Pahang juga kesal dengan kata-kata Aznil itu serta menyifatkan perbuatan pengacara nombor satu negara itu melampau serta keterlaluan.

Aznil, ketika mengulas kontroversi itu mengakui akan kesilapan yang dilakukannya dan tidak menyangka gurauannya itu menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan penonton yang menyaksikan konsert itu.

"Sejujurnya saya memang tidak berniat untuk menyindir atau memalukan sesiapa ketika menyampaikan pantun itu. Apa yang saya katakan itu adalah secara spontan dan tidak dirancang. Mungkin apa yang boleh saya katakan adalah tindakan saya itu ibarat tikus membaiki labu."

"Untuk pengetahuan awak, apabila saya dimaklumkan oleh pihak produksi mengenai perkara ini, saya menjadi risau dan serba salah kerana saya tidak mahu dek kerana perkara ini, hubungan saya dan Erra akan terjejas,?kata Aznil kepada Hip.

Justeru, atas rasa tanggungjawab serta enggan perkara ini berlanjutan, Aznil berkata dia sudah pun menghubungi pelakon jelita itu serta meminta maaf seandainya kata-katanya itu mampu mengguris hati Erra serta keluarganya.

"Saya bukanlah seorang yang ego serta tidak mengaku kesalahan sendiri apabila sudah berbuat silap. Tapi saya rasa saya perlu bertanggungjawab atas perkara itu kerana tidak peka dengan sensitiviti masyarakat sekeliling."

"Mungkin tekanan yang dihadapi di pentas serta banyak perkara yang perlu saya ambil kira ketika mengacarakan rancangan itu membuatkan saya terlepas pandang serta terleka seketika."

"Percayalah saya memang tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa dan saya sudah pun meminta maaf pada Erra dan alhamdulillah, Erra memahami situasi sebenar,?ujar Aznil merendah diri.Apa yang berlaku menurut Aznil akan dijadikan iktibar untuk dia lebih berhati-hati pada masa akan datang."

"Pengalaman selama 17 tahun dalam industri ternyata masih belum mencukupi kerana sebagai mereka yang terbabit secara langsung, masih banyak perkara yang perlu saya belajar dan proses pembelajaran itu akan berterusan sampai bila-bila."

"Cuma selepas ini, saya akan lebih berhati-hati kerana sedar sebagai artis saya sering menjadi tumpuan. Malah setiap gerak geri kita umpama dilihat menggunakan kanta pembesar. Memang sukar dan amat mencabar," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home